*#international pilot*# :
Dalam kes kemalangan bas UPSI, terdapat dakwaan bahawa “brek tidak makan” sewaktu kejadian. Secara asasnya, bas moden dilengkapi dengan sistem brek dual circuit dan ciri fail-safe, yang direka supaya kenderaan masih boleh diberhentikan walaupun jika salah satu litar brek gagal. Oleh itu, secara prinsip teknikal, adalah sukar menerima alasan bahawa brek boleh hilang sepenuhnya tanpa sebab yang lebih mendalam.
Namun, ada satu situasi yang sering berlaku dalam kes kemalangan bas berat di jalan berbukit, iaitu fenomena brake fade. Brake fade berlaku apabila sistem brek terlalu panas akibat penggunaan brek yang berlebihan dan berterusan, biasanya sewaktu menuruni jalan curam. Apabila pemandu tidak menggunakan gear rendah atau retarder, dan terlalu bergantung kepada brek kaki (service brake), haba berlebihan akan terbina pada drum atau cakera brek. Apabila suhu ini mencecah tahap tertentu (sekitar 300–500°C atau lebih), bahan geseran pada brake lining akan mula melepaskan gas dan kehilangan keupayaan mencengkam. Akibatnya, walaupun pemandu menekan pedal brek dengan kuat, bas tetap tidak dapat memperlahankan kelajuan — inilah yang sering disalahtafsirkan oleh pemandu sebagai "brek tidak makan."
Dalam situasi ini, sistem dual circuit tetap berfungsi secara mekanikal — udara atau minyak brek masih sampai ke brek chamber, tetapi kuasa geseran di roda sudah hilang disebabkan overheat. Maka, masalah ini bukan kegagalan sistem brek sepenuhnya, tetapi adalah akibat daripada kesalahan teknik pemanduan, di mana pemandu tidak menggunakan teknik pembrekan bukit yang betul.
Sehubungan itu, alasan bahawa "brek tidak makan" tidak boleh diterima sepenuhnya sebagai alasan teknikal yang sah tanpa siasatan forensik yang teliti. Jika pemeriksaan oleh MIROS atau Puspakom mendapati bahawa sistem brek masih berfungsi dengan baik, tetapi terdapat kesan overheating dan brake fade, maka kesalahan terletak pada aspek pemanduan tidak berhemah dan bukan semata-mata pada sistem brek.
2025-06-11 06:03:33