@updi_terengganu: Kehadiran pelancong ke Tasik Kenyir menunjukkan peningkatan ketara selepas mengalami kemerosotan pasca pandemik Covid-19 yang berskala global beberapa tahun lalu. Perkara ini telah disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris ketika menjawab soalan tambahan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail. Beliau berkata, peningkatan itu dibuktikan menerusi penganjuran Kenyir Geopark Festival baru-baru ini yang mencatat kehadiran hampir 90,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari, sekali gus menandakan kebangkitan semula sektor pelancongan di kawasan tersebut. "Sebenarnya kita sedar kehadiran ke Tasik Kenyir sebelum ini agak berkurang, tetapi sekarang dah naik. Mungkin Yang Berhormat (Telemong) tak baca data baru, tapi naik dah. "Sebelum Covid, kehadiran mencecah hampir sejuta, lepas itu turun, dan kini kembali meningkat," katanya semasa sesi pertanyaan lisan bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet), hari ini. Menurutnya lagi, antara faktor utama kebangkitan itu ialah pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti pelancongan tambahan yang mampu menarik minat pengunjung. "Maksudnya, aktiviti kena ada. Aktiviti tambahan kena ada. Sekarang ini pun rumah bot di Tasik Kenyir melebihi 80 buah dan masih tak cukup. Pengusaha houseboat maklumkan kepada saya, kadar tempahan mereka sentiasa melebihi 90 peratus walaupun pada hari biasa," katanya. Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bahawa keengganan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) untuk berbincang dan memberi kerjasama sebelum ini menjadi salah-satu sebab potensi Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan tersekat. "Masa masuk fasa kedua (selepas Covid-19) Yang Di-Pertua, pengerusi KETENGAH tak boleh bincang dengan kita pula (enggan memberi kerjasama). Kita nak buat pembangunan, nak buat program, tak boleh bincang. Jadi pengerusi KETENGAH yang yang baru dilantik ini nampak macam boleh bincang. "Dan inilah yang saya katakan kita harap kepada pengerusi Ketengah baru ini boleh berbincang dengan kita supaya kerajaan negeri juga boleh melabur, boleh memberi bantuan kepada KETENGAH untuk memastikan semua Yang Berhormat Telemong nak, kita boleh buat. Insya-Allah, saya yakin dan percaya kita boleh buat," jelasnya. Razali memaklumkan kerajaan negeri kini bekerjasama rapat dengan KETENGAH bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan pelancongan di sekitar Tasik Kenyir. Antara lokasi terlibat termasuk Taman Orkid, Taman Rama-Rama, Gua Bewah, Santuari Kelah serta Melunak Trail, selain kerja baik pulih jambatan gantung lama di kawasan berkenaan. "Baiki jambatan gantung ini hak yang rosak lama dah. Kita tak buat baru Dato' Yang Di-Pertua. Untuk pengetahuan dewan, kita tak buat benda baru di Tasik Kenyir. Benda lama kita baik pulih dah cukup untuk menerima pelancong," ujarnya. Beliau berkata, kerajaan negeri meletakkan sasaran satu juta pelancong ke Tasik Kenyir pada tahun 2026, dan pihak pengurusan KETENGAH telah menyatakan kesediaan untuk mencapai sasaran itu. "Itu bermakna Tasik Kenyir kini berada dalam fasa pemulihan," ujarnya dengan penuh positif terhadap pembangunan di tasik buatan terbesar di Asia Tenggara itu. #TerengganuMajuBerkatSejahtera #memacupotensimelonjakprestasi #IndahnyaHidupBersyariat #terengganu #belanjawanterengganu2026
UPDI Terengganu
Region: MY
Wednesday 12 November 2025 08:21:08 GMT
Music
Download
Comments
Engku azlan :
teruskan buat yang terbaik untuk Terengganu
2025-11-13 04:15:29
0
Bawang Goreng😂 :
betul ke 😂😂😂
2025-11-12 16:22:58
1
Norleha Mohammed :
Tahniah kerajaan ganu
2025-11-12 10:13:56
0
Kzue :
Terbaik YB, teruskan... yg baik kita sokong
2025-11-12 12:04:51
0
Akoktembaga :
Up sikit pembagunan area sana promosi lagi
2025-11-12 09:40:34
0
waN Khusairi :
👍👍👍👍💪💪💪💪
2025-11-12 09:23:20
0
awan :
alhamdulillah..
Terengganu ke arah perlancongan..
2025-11-12 12:55:12
0
To see more videos from user @updi_terengganu, please go to the Tikwm
homepage.